Perlindungan penyakit kritikal memberikan anda satu pembayaran sekali gus, jika anda didiagnos dengan salah satu penyakit kritikal yang dilindungi dalam pelan anda. Tidak seperti pelan perlindungan kesihatan, perlindungan penyakit kritikal tidak dibuat semata-mata untuk membayar kos rawatan di hospital atau perubatan anda, tetapi untuk menyediakan sejumlah wang bagi mengurus perbelanjaan segera; yang bermaksud anda bebas menggunakan wang tersebut sepertimana yang anda mahukan. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan manfaat yang diterima untuk membayar kos rawatan susulan atau peralatan perubatan anda yang tidak dilindungi di bawah pelan perlindungan perubatan jika anda memilikinya. Anda juga boleh menggunakan wang tersebut untuk rawatan penjagaan kejururawatan di rumah, mendapatkan rawatan alternatif atau membayar pembiayaan untuk kelangsungan hidup keluarga anda; mana-mana yang dapat membantu anda memberi tumpuan kepada pemulihan anda.
Sejauh manakah pelan perlindungan penyakit kritikal ini mampu untuk melindungi diri saya daripada kejadian malang ini?
Peraturan asas untuk memastikan jumlah perlindungan penyakit kritikal yang mencukupi adalah 3x daripada gaji tahunan anda. Mengapa 3 kali? Sekiranya didiagnos dengan penyakit kritikal, anda memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun untuk menyesuaikan gaya hidup anda sehingga anda pulih.
Perlindungan penyakit kritikal berbeza mengikut pelan yang anda pilih. Pengendali Takaful menawarkan pelbagai perlindungan yang berbeza-beza, berdasarkan bilangan, jenis dan/atau tahap penyakit kritikal yang dilindungi sama ada awal, pertengahan atau utama. Pelan perlindungan penyakit kritikal yang paling berpatutan adalah pelan yang menyediakan perlindungan untuk sepuluh penyakit kritikal yang paling biasa, iaitu serangan jantung, kanser, kegagalan buah pinggang, strok, penyakit arteri koronari, kegagalan hati, penyakit paru-paru, pembedahan injap jantung, angioplasti dan rawatan invasif lain. Pelan ini sangat bagus sekiranya anda mempunyai bajet yang rendah, kerana ia hanya merangkumi 10 penyakit kritikal utama yang menjadikannya lebih berpatutan untuk disertai.
Manakala pelan perlindungan penyakit kritikal yang paling komprehensif pula merangkumi 56 penyakit kritikal termasuk 11 penyakit kritikal kanak-kanak yang melindungi anda dan keluarga dengan lebih luas dan menawarkan pelbagai manfaat seperti buta, koma, pekak, kehilangan pertuturan, penyakit Parkinson, Ensefalitis, Penyakit Lembu Gila, poliomielitis dan banyak lagi. Pelan perlindungan penyakit kritikal yang komprehensif juga merangkumi perlindungan penyakit kritikal kanak-kanak, yang biasanya terdiri daripada asma, diabetes jenis 1, Kawasaki, epilepsi, kolangitis dan obesiti morbid remaja. Carilah pelan Takaful yang menawarkan perlindungan penyakit kritikal komprehensif untuk orang dewasa dan kanak-kanak dalam satu pelan. Walaupun ini bererti harganya sedikit tinggi, kebanyakan pelan perlindungan penyakit kritikal ditawarkan sebagai rider, yang mana anda boleh tambahkan pada pelan Takaful asas anda di kemudian hari apabila bajet anda mengizinkan.
Sepertimana semua jenis pelan perlindungan Takaful sedia ada, kadar caruman perlindungan penyakit kritikal bergantung kepada syarat Sijil, selain daripada tahap kesihatan, sejarah keluarga dan usia anda. Anda juga seringkali akan diminta untuk melengkapkan soal selidik kesihatan mengenai sejarah kesihatan semasa dan masa lalu anda, serta sejarah keluarga atau menjalani pengunderaitan perubatan sebelum permohonan anda diluluskan. Selain daripada itu, jumlah Jumlah Perlindungan juga akan mempengaruhi kadar caruman. Secara amnya, semakin lanjut usia anda ketika memohon pelan perlindungan penyakit kritikal, semakin mahal carumannya.